Friday, November 20, 2009

Cilik Cerdik

“Cikgu2, saya pandai nyanyi. Cikgu nak dengar?”

Ala payunglah payung, ketipa payung,
Payung sutera anak raja muda,
Ala tolong lah tolong cik abang tolong
Janganlah marah pada adinda…

Hahaha, hampir tersedak bila saya dengar nyanyiannya. Ingatkan nasyid, lagu P.Ramli rupanya.Lantas saya menghadiahkan sekuntum senyuman untuknya dengan tambahan satu soalan cepu emas. “Kalau cikgu ajar lagu lain pulak nak?” Tersengih-sengih dia sambil mengangguk-angguk tanda setuju.

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Tarbiah yang diterima bermula dari ibu bapa, kemudian didikan dari guru-guru serta budaya yang dibudayakan oleh masyarakat. Warna-warna yang dicorakkan inilah yang penting untuk membentuk akhlak,adab serta tingkah laku seorang manusia.

Islam menekankan aspek tarbiyyatul aulad(pendidikan anak-anak) sebagai satu wasilah pembentukan modal insan yang paling berkesan. Ia mendasari didikan ruhiyyah yang digariskan oleh Pencipta manusia,berpaksikan dua perkara iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Betul, sistem pendidikan sekular kini tidak mampu menyediakan tapak yang kukuh untuk membina manusia sebagai manusia. Hanya aspek aqliyyah tanpa ruhiyyah. Cerdik tanpa akhlak. Berjaya tanpa berbakti. Sayup-sayup terdengar sorak-sorai penjajah yang berjaya mengucar-kacirkan sistem pendidikan umat Islam. Baik pendidikan dalam keluarga,institusi pendidikan mahupun masyarakat.

Jadi, di sinilah perlunya kepimpinan Islam. Menjulang kembali dasar pendidikan Islam. Bersyukur saya dilahirkan di negeri yang dapat mengimplementasikan sistem pendidikan Islam. Sebaik sahaja diisytiharkan kemenangan Parti Islam pada tahun 1990, terus ditubuhkan Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI). Yakin betapa pentingnya penerapan nilai-nilai Islam sebelum rebung menjadi buluh yang tidak dapat dilentur.

Sekolah-sekolah agama,pondok-pondok moden,kolej-kolej Islam membiak subur terutama dengan bantuan dari kerajaan negeri. Alhamdulillah, benih yang ditanam hampir 20tahun lampau telah tumbuh subur, berbuah dan kemanisan keberkatan perlahan-lahan dapat dikecap.

Dan kini saya mengerti, amanah tarbiah untuk membentuk individu muslim turut dipegang oleh seorang guru. Sandaran gelaran sementara “cikgu” mesti digunakan sebaiknya. Tugas yang cukup berat, membentuk peribadi, menjana minda kreatif dll. Semoga ada juga saham untuk saya di sana.

Sebelum jawatan diletakkan;
“Ok, sekarang tiba masa untuk belajar lagu baru…”

Ummat Islam harus cemerlang,hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa, siapa kata kita tidak boleh?
Kita ada Allah Maha Kuasa, kita punya kuasa tenaga, doa sebagai senjata
Umat Islam sentiasa BOLEH…

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 TaiFa_IFFaH. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase