Sunday, November 22, 2009

Banjir oh banjir

Air sudah memenuhi kawasan rumah. Kanak-kanak bersuka ria menyambut Pesta Air. Orang dewasa kelaparan di atas rumah, sempat menikmati hidangan ubi kayu rebus bersama gula.

Adakah air semakin naik? Ramalan demi ramalan dilakukan. Dapat juga belajar sesuatu bila mana musim tengkujuh bertandang di negeri Pantai Timur ini. Belajar tentang; petanda-petanda adakah banjir akan terjadi berdasarkan pemerhatian terhadap alam sekeliling.

Bukan mengikut ilmu metereologi atau ilmu falaq tapi perkiraan orang tua-tua dahulu yang turut dikongsi oleh generasi kini. Pertama,dongaklah ke langit. Jika langit gelap, kemungkinan besar paras air akan meningkat. Ataupun rasailah kekuatan angin,jika bertiup kencang,pastilah banjir akan melanda meskipun tidak bersama hujan yang mencurah. Angin dikatakan membawa bersama air dari hulu (Kuala Krai, Gua Musang dsb) ke kwasan hilir(Kota Bharu dsb). Seperti tahun 2004, hujannya tidak, namun suasana sekeliling ‘berangin’ menyebabkan banjir besar melanda.

Semua perkara berlaku pastinya ada petanda.Banjir ada petanda,kalau mati? Mestilah Allah itu adil, memberikan petanda kepada hambanya sebelum roh dicabut oleh Malikil Maut. Semoga dengan adanya petanda-petanda hambaNya akan membuat persediaan secukupnya.

Kita check bersama, adakah petanda-petanda itu ada pada batang tubuh kita. Pertama, mata. Petandanya, rabun. Mata sudah mulai kabur, imej yang dilihat tidak jelas dan samar-samar. Perlu bantuan kanta cembung atau kanta cekung untuk melihat dengan lebih jelas.

Kedua, kepala. Petandanya uban. Namun biasanya uban akan menjadi mangsa tangan-tangan ganas, tidak dibiarkan lama singgah di kepala, pasti akan dicabut. Ataupun diletakkan pewarna rambut supaya kembali hitam. Letih kita mahu melawan sunnatullah, kita hitamkan pasti bertukar putih semula. Biarlah ia di situ, tanda kasih sayang Allah mengingatkan kita maut sudah hampir.

Petanda-petanda sudah ada, cuma persediaannya.. Terkadang sayu rasanya, bekalan masih tidak cukup untuk kehidupan selama-lamanya di sana. Tapisan-tapisan Allah pada setiap amalan, kekangan hawa nafsu, tentangan dari syaitan dan iblis,sungguh banyak mehnah untuk bergelar mukmin muttaqin. tak mengapa, pujuklah hati dengan kalimah “Jangan berputus asa dari rahmat Allah”.

Nampaknya air hampir mencecah anak tangga pertama, air makin naik. Sibuk semuanya mengalihkan barang, kenderaan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi serta penduduk keluar ke bandar mencari bekalan makanan sebelum keadaan lebih teruk. Betullah, petanda yang ada memberi peluang untuk kita menyiapkan bekalan yang mencukupi. Bukan sahaja dalam situasi banjir, bahkan juga bekalan di dunia untuk ke akhirat yang perlu lebih dirungsingkan.

Friday, November 20, 2009

Cilik Cerdik

“Cikgu2, saya pandai nyanyi. Cikgu nak dengar?”

Ala payunglah payung, ketipa payung,
Payung sutera anak raja muda,
Ala tolong lah tolong cik abang tolong
Janganlah marah pada adinda…

Hahaha, hampir tersedak bila saya dengar nyanyiannya. Ingatkan nasyid, lagu P.Ramli rupanya.Lantas saya menghadiahkan sekuntum senyuman untuknya dengan tambahan satu soalan cepu emas. “Kalau cikgu ajar lagu lain pulak nak?” Tersengih-sengih dia sambil mengangguk-angguk tanda setuju.

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkannya. Tarbiah yang diterima bermula dari ibu bapa, kemudian didikan dari guru-guru serta budaya yang dibudayakan oleh masyarakat. Warna-warna yang dicorakkan inilah yang penting untuk membentuk akhlak,adab serta tingkah laku seorang manusia.

Islam menekankan aspek tarbiyyatul aulad(pendidikan anak-anak) sebagai satu wasilah pembentukan modal insan yang paling berkesan. Ia mendasari didikan ruhiyyah yang digariskan oleh Pencipta manusia,berpaksikan dua perkara iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Betul, sistem pendidikan sekular kini tidak mampu menyediakan tapak yang kukuh untuk membina manusia sebagai manusia. Hanya aspek aqliyyah tanpa ruhiyyah. Cerdik tanpa akhlak. Berjaya tanpa berbakti. Sayup-sayup terdengar sorak-sorai penjajah yang berjaya mengucar-kacirkan sistem pendidikan umat Islam. Baik pendidikan dalam keluarga,institusi pendidikan mahupun masyarakat.

Jadi, di sinilah perlunya kepimpinan Islam. Menjulang kembali dasar pendidikan Islam. Bersyukur saya dilahirkan di negeri yang dapat mengimplementasikan sistem pendidikan Islam. Sebaik sahaja diisytiharkan kemenangan Parti Islam pada tahun 1990, terus ditubuhkan Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI). Yakin betapa pentingnya penerapan nilai-nilai Islam sebelum rebung menjadi buluh yang tidak dapat dilentur.

Sekolah-sekolah agama,pondok-pondok moden,kolej-kolej Islam membiak subur terutama dengan bantuan dari kerajaan negeri. Alhamdulillah, benih yang ditanam hampir 20tahun lampau telah tumbuh subur, berbuah dan kemanisan keberkatan perlahan-lahan dapat dikecap.

Dan kini saya mengerti, amanah tarbiah untuk membentuk individu muslim turut dipegang oleh seorang guru. Sandaran gelaran sementara “cikgu” mesti digunakan sebaiknya. Tugas yang cukup berat, membentuk peribadi, menjana minda kreatif dll. Semoga ada juga saham untuk saya di sana.

Sebelum jawatan diletakkan;
“Ok, sekarang tiba masa untuk belajar lagu baru…”

Ummat Islam harus cemerlang,hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa, siapa kata kita tidak boleh?
Kita ada Allah Maha Kuasa, kita punya kuasa tenaga, doa sebagai senjata
Umat Islam sentiasa BOLEH…

Monday, November 2, 2009

Jalur dan warna sudah ditentukan

Senyuman yang tidak lekang dibibir, kata-kata semangat dalam nestapa, mata yang redup memandang menjadi penguat sehingga detik ini. Tidak akan ada sekelumit rasa benci ditanamkan di hati kecuali ditanamkan sifat memaafkan dan meredhai.

Pasakan “buat yang Allah suruh, Dia akan aturkan yang terbaik untuk kita” menjadikan puteri-puterinya berpegang teguh dengan keyakinan jalan keluar akan tiba dihujung jalan derita. Kukuh hati mereka dengan kebergantungan kepada Allah. Malu bertamu di hati puterinya bila mereka terkadang goyah dalam menghadapi musibah. Namun bila ditenung wajah itu, ia tetap teguh memberi teduhan pada hati yang rawan.

Ketabahan yang dipertahankan hampir separuh abad, pengorbanan yang ditabur sepanjang hayat menjadikan dia seperti pohon tempat teduhan yang tanpa putus memberikan buah. Lidahnya sentiasa basah dengan doa, memohon kasih dariNya, mengharapkan redhaNya dan bantuanNya ketika kesempitan.

Tak pernah dirisaukan anugerah Allah, jika tiada di dunia, insyaallah ada yang lebih baik menunggu di akhirat. Namun siapa tahu, Allah akan sentiasa dekat dengan hambaNya. Setiap doa yang dipanjatkan, pasti Allah memberikan anugerah kemudahan dan ketenangan dalam menjejak jalan hidup. Makin kukuh pergantungannya, makin kuat esak tangisnya di atas sejadah.

Dia yakin walaupun telah banyak penderitaan yang dialaminya, tak akan pernah dia menyalahkan. Baginya Tuhan telah memberi jalur dan warna yang tertentu untuk manusia. Siapakah kita untuk bertanya kepada Tuhan tentang takdir yang ditetapkan? Kerana Dialah pengatur yang Maha Teliti dan Maha Halus sedangkan kitalah mempunyai segala kelemahan dan kekurangan.

Tujuannya cuma satu. Untuk bersama puteri-puterinya mengejar satu cinta yang hakiki. Cinta yang tak akan pernah membuatkan jiwa merana atau kehidupan menderita. Cinta yang sentiasa dijadikan penguat melangkaui hari-hari dunia untuk bertemuNya. Cinta yang akan dijadikan mahar untuk ke syurga, menatap wajah Yang Maha Agung.

Bila roh sudah dicabut, tinggallah dunia dan segala isinya. Kecuali tiga perkara yang akan dijadikan bekal. Harapnya agar permata-permata yang dikandung 9bulan 10hari menjadi asset yang akan mengirimkan doa dan amal bakti kepadanya. Dan kesedihan yang paling digeruni mereka sekiranya tidak dapat berjumpa lagi di alam roh, andainya salah seorang ditolak segala amalan oleh Allah. Nauzubillah.. Meranalah jiwa,hancur luluhlah perasaan kerana perpisahan di sana ialah perpisahan yang kekal abadi. Tiadalah lagi dapat menatap wajah-wajah insan yang disayangi di dunia. Semoga roh mereka menjadi roh pilihan Allah yang ditempatkan bersama nabi, para syuhada’ serta orang-orang soleh.

Dia yakin ceritanya ialah cerita tentang takdir yang sangat manis setelah dikecap. Nasihat Dr. Aidh Abdullah Qarni yang dipegangnya ialah, “Melangkahlah lebih dekat dan lebih rapat ke dalam naungan iman, nescaya ketenangan itu akan menjadi milik kita… Belumkah kita mendengar bisikan iman yang memanggil-manggil agar kita masuk bersama golongan paling bahagia di dunia?”
 
Copyright 2010 TaiFa_IFFaH. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase