Thursday, December 17, 2009

Kukaguminya

Kami berbual-bual sementara menunggu masuknya waktu Isya’. Sungguh saya kagum dengannya. Wanita yang sudah berumur lebih 60 tahun. Semangat untuk berjuang dan beramal melebihi semangat muda-mudi (termasuklah saya) yang pastinya lebih gagah.

Dia bercerita bagaimana pengalamannya pertama kali menaiki kapal terbang untuk menunaikan haji. Gerun…Pasti berkecai badan andai terhempas pesawat. Begitupun, tersentak hati saya bila dia mengumpamakan saat roh yang diangkat ke langit bertemu Tuhan. Andai tidak diterima amalan, akan dihempas ke muka si mayat, hancur berkecai..Pasti lebih tragis.Dup dap hati berdebar dengan perumpamaan yang meniti di bibirnya itu.

Semasa kami bersama turun ke Bukit Gantang dan Manik Urai dahulu, kobar semangat yang membara untuk berjuang turut sama membakar semangat saya. Struktur tanah di Manik Urai yang berbukit, dan kebanyakan rumah di kawasan tinggi, memerlukan kekentalan tenaga untuk membuat culaan. Alangkah cergas dia berjalan ke sana ke mari memanjat bukit, sedangkan saya sudah semput tercungap-cungap. Namun, balik sahaja dari sana, terus sahaja dia demam. Semoga diterima pahala jihadnya.

Banyak saya dapat belajar darinya, dari pengalamannya serta perjalanan hidupnya. Dia menjadi agen dalam masyarakat untuk mengajak muda-mudi meninggalkan maksiat, menggalakkan ke majlis zikrullah. Seorang tua,meskipun tanpa pelajaran formal namun sindiran,bebelan dan nasihat yang dilemparkan sedikit sebanyak menyebabkan para remaja mengikut jalan kebaikan yang ingin ditunjukinya.

Keluhannya semasa Hari Raya Aidiladha dahulu masih saya ingat, berkenaan program tv yang disiarkan. Minatnya cenderung kepada program bacaan Quran dan kuliah agama( antara rancangan kegemarannya: Mari Mengaji, Tilawah Interaktif, Mari Bertarannum dan Semanis Kurma). Namun, bila menjelangnya hari raya, semuanya tidak disiarkan bahkan digantikan dengan rancangan hiburan dan nyanyian. Geram hatinya dan diluahkan pada kami. Gaya ketidakpuasan hatinya dan cara dia bercerita menyebabkan kami tergelak.

Ada kebenaran di situ. Rancangan tv yang mengikis intelek masyarakat dengan hidangan gambar pornografi, sinetron Indonesia beratus episod, nyanyian kanak-kanak sehingga veteran, program realiti tak berkualiti. Satu akibatnya yang ketara muncul, Melayu Malas Fikir, Melayu Mudah Lupa, Melayu Makin Layu. (khususnya Melayu Islam).

Cerita saya kali ini berkisar hanya seorang wanita. Meskipun banyak lagi sifatnya yang tidak tercerita di sini,namun harapnya dapatlah dia saya jadikan sebagai contoh di waktu muda ini, apatah lagi di waktu tua nanti. Kerana orang yang cerdik belajar dari pengalaman sendiri,tetapi orang yang bijaksana ialah yang belajar dari pengalaman orang lain.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 TaiFa_IFFaH. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase