Sunday, November 22, 2009

Banjir oh banjir

Air sudah memenuhi kawasan rumah. Kanak-kanak bersuka ria menyambut Pesta Air. Orang dewasa kelaparan di atas rumah, sempat menikmati hidangan ubi kayu rebus bersama gula.

Adakah air semakin naik? Ramalan demi ramalan dilakukan. Dapat juga belajar sesuatu bila mana musim tengkujuh bertandang di negeri Pantai Timur ini. Belajar tentang; petanda-petanda adakah banjir akan terjadi berdasarkan pemerhatian terhadap alam sekeliling.

Bukan mengikut ilmu metereologi atau ilmu falaq tapi perkiraan orang tua-tua dahulu yang turut dikongsi oleh generasi kini. Pertama,dongaklah ke langit. Jika langit gelap, kemungkinan besar paras air akan meningkat. Ataupun rasailah kekuatan angin,jika bertiup kencang,pastilah banjir akan melanda meskipun tidak bersama hujan yang mencurah. Angin dikatakan membawa bersama air dari hulu (Kuala Krai, Gua Musang dsb) ke kwasan hilir(Kota Bharu dsb). Seperti tahun 2004, hujannya tidak, namun suasana sekeliling ‘berangin’ menyebabkan banjir besar melanda.

Semua perkara berlaku pastinya ada petanda.Banjir ada petanda,kalau mati? Mestilah Allah itu adil, memberikan petanda kepada hambanya sebelum roh dicabut oleh Malikil Maut. Semoga dengan adanya petanda-petanda hambaNya akan membuat persediaan secukupnya.

Kita check bersama, adakah petanda-petanda itu ada pada batang tubuh kita. Pertama, mata. Petandanya, rabun. Mata sudah mulai kabur, imej yang dilihat tidak jelas dan samar-samar. Perlu bantuan kanta cembung atau kanta cekung untuk melihat dengan lebih jelas.

Kedua, kepala. Petandanya uban. Namun biasanya uban akan menjadi mangsa tangan-tangan ganas, tidak dibiarkan lama singgah di kepala, pasti akan dicabut. Ataupun diletakkan pewarna rambut supaya kembali hitam. Letih kita mahu melawan sunnatullah, kita hitamkan pasti bertukar putih semula. Biarlah ia di situ, tanda kasih sayang Allah mengingatkan kita maut sudah hampir.

Petanda-petanda sudah ada, cuma persediaannya.. Terkadang sayu rasanya, bekalan masih tidak cukup untuk kehidupan selama-lamanya di sana. Tapisan-tapisan Allah pada setiap amalan, kekangan hawa nafsu, tentangan dari syaitan dan iblis,sungguh banyak mehnah untuk bergelar mukmin muttaqin. tak mengapa, pujuklah hati dengan kalimah “Jangan berputus asa dari rahmat Allah”.

Nampaknya air hampir mencecah anak tangga pertama, air makin naik. Sibuk semuanya mengalihkan barang, kenderaan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi serta penduduk keluar ke bandar mencari bekalan makanan sebelum keadaan lebih teruk. Betullah, petanda yang ada memberi peluang untuk kita menyiapkan bekalan yang mencukupi. Bukan sahaja dalam situasi banjir, bahkan juga bekalan di dunia untuk ke akhirat yang perlu lebih dirungsingkan.

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 TaiFa_IFFaH. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase