Sunday, October 25, 2009

Ikan Kakap vs Ikan Kering

Kehadiran tetamu itu begitu memberi rahmat kepada kami.Mungkin kata-kata yang dilontar kurang enak didengar tapi boleh kami jadikan sebagai muhasabah berguna. Sedikit terkesan di hati antara kata-kata terakhirnya sebelum meninggalkan rumah kami “Ikan kakap masih atas dapur tu, hajatnya dah tak nak naik”. Tiba-tiba terdetik di hati, “tak pelah,hari ini kami makan ikan kering saje”.

Ketahuilah orang miskin yang pemurah lebih dicintai Allah berbanding orang kaya yang dermawan. Ingatlah Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta tetapi kerana kaya jiwa”.Satu pegangan yang ditanamkan oleh Allah dan RasulNya untuk memujuk hati-hati manusia yang diuji dengan kesusahan.

Harta bukan milikmu,untukmu hanya rezeki, terkurang kumpul lagi, terlebih memberilah… Lirik lagu yang selalu kami alunkan dan akhirnya kami tergelak bersama. Mungkin kerana suara salah seorang dari kami yang kurang merdu.

Betul harta bukan milik kita,milik kita hanya rezeki. Rezeki yang pernah diceritakan kepada saya ialah kemudahan yang Allah berikan untuk membuat sesuatu perkara. Berapa ramai orang kaya yang menghitung-hitung angka di buku akaun tetapi mengikat perut takut habis hartanya? Dan berapa ramai pula orang miskin yang tiada duit di dalam poket, tapi dapat makan dengan bahagia? Rezeki yang tak kita jangka selalu datang ketika kita tersepit, mengukuhkan ikatan hati dan keyakinan kepada Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

Jangan takut kemiskinan dunia kerana kita sentiasa kaya dengan rahmatNya. Tapi tanamlah ketakutan di jiwa sekiranya kita tergolong dalam kalangan orang yang miskin bahkan muflis di hari akhirat.

“Tahukah kamu, siapakah gerangan orang yang muflis itu ?
Lalu jawab sahabat: “Pada pandangan kami, orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak mempunyai wang dan harta?”
Lantas Baginda bersabda: “Sesungguhnya orang yang muflis di kalangan umatku ialah mereka yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat. Dia juga (dalam masa yang sama) datang dengan membawa dosa menghina, menyakiti orang, memakan harta orang lain, menumpahkan darah (membunuh), dan memukul orang. “Lalu diberi segala kebajikan itu kepadanya dan ini adalah kebajikan-kebajikannya. Maka jika telah habis pahala kebajikannya sebelum dapat dibayar kepada orang yang menuntutnya (orang yang dihina, disakiti dan dizaliminya ketika di dunia dulu), maka dosa-dosanya itu akan dilemparkan kepadanya, lalu dia kemudiannya dicampakkan ke dalam api neraka.”
(Hadis riwayat Muslim)

Bergetar hati dengan cerita yang dikhabarkan Rasulullah tentang nasib kita semasa bertemu Rabb. Sebelum tiba saat itu, kitalah sebenarnya yang perlu membuat keputusan segera samada mahu menjadi orang yang muflis atau jutawan terulung di negeri abadi. Choose your way now!

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2010 TaiFa_IFFaH. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase