Saturday, January 16, 2010

Belajar dari Penyakit

Atherosclerosis is a progressive heart disease characterized by the formation in the walls of large and medium-sized arteries of lesions called atherosclerotic plaques (accumulation of excessive amounts of low density lipoprotein; LDL which contain bad cholesterol).                                                                  

(Tortora, Derrickson: Principles of Anatomy & Physiology)






Mari kita merenung suatu pelajaran dari penyakit tersebut.Bagaimana? Gunakan bahasa mudah, lapisan kolesterol pada dinding salur darah menyebabkan aliran darah tersumbat dan tidak dapat dipam dengan betul ke seluruh badan. Jika tidak dirawat segera akan membawa MAUT.

Sungguh cantik perumpamaan penyakit ini untuk kita hubungkaitkan dengan amalan kita di sisi Allah.  Pertama, kolesterol kita umpamakan seperti maksiat. Manakala aliran darah kita umpamakan sebagai aliran amalan baik yang dilakasanakan untuk sampai kepada Allah.Sedikit halangan maksiat yang terkumpul menyebabkan aliran amalan terganggu untuk sampai, untuk diterima oleh Allah.

Proses pembersihan jiwa dari maksiat dan kotoran dosa perlu segera dilakukan, bimbang sekiranya amalan yang kita lakukan sia-sia seumpama debu-debu yang berterbangan. Bagaimana dilakukan kerja pembersihan sekiranya kita sendiri tak mengetahui apa penyakit sebenar yang dialami roh?

Penciptaan manusia terdiri dari dua elemen; jasmani dan rohani. Dan setiap dari jasad dan roh ini pasti mempunyai penyakit. Penyakit jasmani sebetulnya lebih mudah untuk dikesan meskipun adakalanya si empunya diri tidak perasan dia berpenyakit. Berbeza sekali dengan penyakit roh yang tidak boleh dilihat dengan ‘basor’(pandangan mata kasar) tetapi boleh dilihat dengan ‘basirah’(pandangan mata hati). Jadi, majoriti kita manusia tidak mengetahui roh kita berpenyakit.

Antara cara yang membolehkan kita melihat dan menjengah di mana penyakit dalaman kita ialah cerminan sahabat. Sahabat yang baik yang boleh menilai dan menegur pada setiap tingkah laku yang bersalahan dari syariat mahupun adat.

Ingatkah kita bagaimana Sayyidina Umar Al-Khattab r.a yang sentiasa mencari kesalahan diri sendiri supaya dapat dibaiki hatinya, ditingkatkan darjatnya di sisi Allah. Pernah beliau bertanya Sayyidina Huzaifah (setiausaha sulit Rasulullah) adakah beliau turut tersenarai dalam kalangan golongan munafiq. Hati yang sentiasa bimbang dengan penerimaan Allah terhadap amalannya, sedangkan dialah Khulafa Ar-Rasyidin.

Lantas, jenguklah pula ke hati kita,tanyakan diri kita “Adakah sudah mencari kecacatan dan kecelaan dalaman kita yang akan menyekat aliran amalan kita di sisi Allah?”. Jika sudah ditemui, basuhlah dengan air mata taubat serta baikilah dengan tambahan amal soleh.

Monday, January 4, 2010

HIMPUNAN AMAN DAN SERAHAN MEMO BANTAHAN


TINDAKAN MESIR
MENYEKAT ROMBONGAN BANTUAN
“PALESTINE SOLIDARITY CAMPAIGN”


Dewan pemuda PAS Pusat membantah sekeras – kerasnya tindakan Kerajaan Mesir yang tidak memberi kebenaran dan laluan kepada Viva Palestina Convoy 3 untuk meneruskan perjalanan bantuan ke Gaza. Malangnya, kini Konvoi yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign tersebut tersekat di Aqaba, Jordan setelah disekat masuk oleh Kerajaan Mesir.

Kerajaan Mesir telah menyekat deligasi sukarelawan tersebut yang diterajui oleh ahli Parlimen Britain, George Galloway yang telah berjaya mengumpulkan lebih dari 240 ambulan dan kenderaan pelbagai jenis untuk menghantar bantuan ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan ke Gaza.

Rombongan ini telah bertolak dari London pada 05 Disember 2009 dan merentasi jalan darat melalui benua Eropah. Mereka sepatutnya dijadualkan sampai ke Gaza pada 27 Disember 2010 sempena ulang tahun serangan biadap dan pembunuhan zalim rakyat Gaza oleh regim zionis, kerajaan haram Isreal.

Bagi membantah tindakan tersebut, Pemuda PAS akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada kedutaan Mesir :

Tarikh : 8 Januari 2010 [ Jumaat ]
Masa : Jam 1.15 pm [ solat Jumaat di Masjid Tabung Haji ] Jalan Ampang .
[ jam 2.00 pm : berarak dan berkumpul di Kedutaan Mesir ]

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan agar semua rakyat Malaysia terdiri dari muslim dan non-muslim serta seluruh NGO – NGO yang cintakan keamanan dapat bersama hadir membantah tindakan Kerajaan Mesir menghalang Viva Palestina Convoy 3 yang dikendalikan oleh Palestine Solidarity Campaign agar dapat meneruskan perjalanan memasuki Gaza.
 
Copyright 2010 TaiFa_IFFaH. Powered by Blogger
Blogger Templates created by DeluxeTemplates.net
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase